Daging
kambing dalam Bahasa Inggeris ialah chevon.
Daging biri-biri diberi nama mutton.
Istilah lamb ialah untuk biri-biri
yang disembelih pada umur muda. Daging kambing mempunyai kandungan kolesterol
dan lemak yang terendah dikalangan ternakan ruminan iaitu biri-biri, lembu dan
kerbau. Penjualan daging kambing masih tidak ketara di pasaran, kebiasaannya
ialah daging biri-biri dengan harga yang jauh lebih rendah dari daging kambing.
Sebab itu daging biri-biri menjadi pilihan pengusaha makanan, hotel dan
restoran berbanding daging kambing. Samaada disedari atau tidak, ramai
pengusaha makanan, hotel dan restoran melabelkan lauk biri-biri mereka sebagai
lauk kambing dalam Bahasa Melayu tetapi menggunakan label mutton dalam Bahasa Inggeris.
Maka
tidak hairanlah jika masih ramai rakyat Malaysia memberi persepsi salah yang
daging kambing mempunyai banyak lemak. Penjual tidak menandakan daging kambing
dengan tepat. Pengunjung pasaraya dan pembaca akhbar harian boleh terkeliru
kerana istilah mutton diterjemahkan
kepada 'daging kambing' oleh beberapa pasaraya besar pada rak-rak jualan dan
pada iklan-iklan dalam akhbar harian tempatan.
Kesilapan
tersebut boleh membawa tindakbalas negatif bagi promosi makan daging kambing
kerana apabila dimasak mutton (yang
disangka sebagai daging kambing) kelihatanlah kehadiran lemak yang nyata. Faktanya
ialah daging kambing telah terbukti secara saintifik mempunyai kandungan lemak
yang lebih rendah berbanding daging biri-biri. Daging kambing juga mempunyai
kandungan protein dan vitamin yang tinggi. Kajian saintifik juga telah
membuktikan kandungan kolesterol dan lemak pada daging kambing adalah lebih
rendah dari daging biri-biri, lebih-lebih lagi apabila sembelih pada umur
kurang dari setahun. Kandungan lemak pada daging kambing adalah antara dua dan
tiga peratus sahaja. Daging biri-biri pula mengandungi lemak antara 12 ke 13
peratus. Ini bertambah jelas dengan tiadanya lemak pada keratan daging kambing.
Di sebaliknya, pada keratan daging biri-biri lapisan-lapisan lemak yang tebal
amat ketara.