Sunday 26 September 2021

Bolehkah (Cukupkah) Aqiqah Bayi Lelaki Dengan Hanya Seekor Bebiri, Kambing @ Kibasy?

 Assala'mualaikum,

Segala puji bagi Allah SWT atas segala kebesaran dan keagongan NYA. Selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan juga kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga semua yang membaca posting ini di dalam rahmat Allah, sihat jasmani juga rohani  dan dijauhkan dari segala wabak, bencana dan ujian yang berat.

Terdapat banyak pertanyaan berkenaan sembelihan hanya seekor haiwan untuk aqiqah bayi lelaki, cukupkah atau sahkah... Ini mungkin timbul akibat kesan dari situasi semasa pendamik COVID 19 yang mencengkam hampir segala aspek kehidupan kita termasuklah soal ekonomi dan kemampuan berbelanja masyarakat. Kami akan berpandukan IRSYAD AL-FATWA 128 dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang dikeluarkan oleh SS Datuk Mufti Wilayah Perseketuan pada 19 September 2016 bersamaan 17 Zulhijjah 1437 H. 

Ia Adalah Memadai dan Dibolehkan

Ini adalah pendapat di dalam mazhab al-Syafi’e sepertimana dinukilkan oleh al-Imam al-Syirazi di dalam kitabnya al-Muhazzab dan begitu juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’.[1]

Ia berdasarkan sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibasy yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang”.

Riwayat Abu Daud (2841)

Berdasarkan hadith tersebut, maka melakukan aqiqah bagi anak lelaki dengan seekor kambing adalah memadai. Perkara yang utama disini ialah kita hendaklah menyempurnakan ibadah aqiqah ini dengan penuh keikhlasan dan menzahirkan rasa syukur di atas kurniaan Allah SWT kerana menghadirkan zuriat buat keluarga kita dan pastinya juga Rasulullah SAW akan berbangga di akhirat kelak kerana ramainya umat Baginda SAW.

 

 [1] Al-Muhazzab oleh al-Syirazi (1/438) & al-Majmu’ oleh al-Nawawi (8/429)