Tuesday, 16 April 2013

Adakah Daging Kambing Berbau Hamis?

JAWAPANNYA TIDAK...Bulu kambing jantan dewasa biasanya berbau hamis. Bagaimanapun, kambing jantan muda tidak berbau hamis. Daging kambing dewasa tidak akan berbau hamis jika penyembelihan dilakukan berpandu kepada kaedah yang betul atau mengikut petua atau amalan tradisional. Teknologi terkini mampu menyahkan tisu yang menghasilkan bau hamis pada kambing jantan melalui prosedur yang dinamakan de-odorising yang dilakukan pada peringkat anak. Selain itu kaedah penjagaan kebersihan, semburan racun kutu dan fungus di persekitaran kandang dapat membantu tumbesaran kambing yang sihat selain dapat meminimumkan aroma hamis di kandang kambing.




Thursday, 11 April 2013

Mengenali Kambing, Adakah Sama Kambing Dengan Biri-Biri Ataupun Kibas ...


Secara saintifiknya, kambing (Capra hircus) adalah haiwan ruminan kecil yang diletakkan di dalam keluarga Bovidae dengan subfamili Caprinae. Haiwan empat kaki berkuku dua ini berkeupayaan untuk menyesuaikan diri di dalam pelbagai cuaca tetapi ia lebih mudah mengadaptasi kawasan yang bercuaca  panas berbanding sejuk. Ekor kambing berdiri hampir tegak, tetapi ekor biri-biri terkulai seperti ekor lembu.

Sungguhpun kambing dan biri-biri nampak hampir sama dan keduanya tergolong dalam subfamili Caprinae, tetapi biri-biri (Ovis aries) adalah spesis yang berlainan daripada kambing. Biri-biri adalah dari jenis kibas berasal daripada Artiodactyla dalam keluarga Genus Ovis. Beza kibas dengan biri-biri yang lain ialah lemak di dalam badannya terkumpul di bahagian ekornya. Ini menjadikan ekor kibas kembang dan tebal seperti kelopak bunga.


Biri-biri suka berkumpulan manakala kambing suka berpecah dari kumpulan. Biri-biri meragut rumput yang berada ditanah  manakala kambing suka makan pucuk-pucuk pepohon dan dedaun. Walau bagaimanapun kambing juga meragut rumput. Ada beberapa tumbuhan yang menjadi racun kepada biri-biri tetapi boleh dimakan oleh kambing dan sebaliknya. Biri-biri dan kambing tidak boleh mengawan kerana mereka adalah berlainan spesis.

Layari nutrisidaman.blogspot.my untuk maklumat lanjut berkaitan menu berasaskan daging kambing dan perkhimatan katering serta pengurusan majlis.


Perbezaan Daging Kambing Dan Daging Biri Biri

Daging kambing dalam Bahasa Inggeris ialah chevon. Daging biri-biri diberi nama mutton. Istilah lamb ialah untuk biri-biri yang disembelih pada umur muda. Daging kambing mempunyai kandungan kolesterol dan lemak yang terendah dikalangan ternakan ruminan iaitu biri-biri, lembu dan kerbau. Penjualan daging kambing masih tidak ketara di pasaran, kebiasaannya ialah daging biri-biri dengan harga yang jauh lebih rendah dari daging kambing. Sebab itu daging biri-biri menjadi pilihan pengusaha makanan, hotel dan restoran berbanding daging kambing. Samaada disedari atau tidak, ramai pengusaha makanan, hotel dan restoran melabelkan lauk biri-biri mereka sebagai lauk kambing dalam Bahasa Melayu tetapi menggunakan label mutton dalam Bahasa Inggeris.


Maka tidak hairanlah jika masih ramai rakyat Malaysia memberi persepsi salah yang daging kambing mempunyai banyak lemak. Penjual tidak menandakan daging kambing dengan tepat. Pengunjung pasaraya dan pembaca akhbar harian boleh terkeliru kerana istilah mutton diterjemahkan kepada 'daging kambing' oleh beberapa pasaraya besar pada rak-rak jualan dan pada iklan-iklan dalam akhbar harian tempatan.


Kesilapan tersebut boleh membawa tindakbalas negatif bagi promosi makan daging kambing kerana apabila dimasak mutton (yang disangka sebagai daging kambing) kelihatanlah kehadiran lemak yang nyata. Faktanya ialah daging kambing telah terbukti secara saintifik mempunyai kandungan lemak yang lebih rendah berbanding daging biri-biri. Daging kambing juga mempunyai kandungan protein dan vitamin yang tinggi. Kajian saintifik juga telah membuktikan kandungan kolesterol dan lemak pada daging kambing adalah lebih rendah dari daging biri-biri, lebih-lebih lagi apabila sembelih pada umur kurang dari setahun. Kandungan lemak pada daging kambing adalah antara dua dan tiga peratus sahaja. Daging biri-biri pula mengandungi lemak antara 12 ke 13 peratus. Ini bertambah jelas dengan tiadanya lemak pada keratan daging kambing. Di sebaliknya, pada keratan daging biri-biri lapisan-lapisan lemak yang tebal amat ketara.


Oleh yang demikian fobia atau ketakutan untuk makan daging kambing adalah tidak berasas jika dikaitkan dengan kandungan lemak. Adalah tidak rasional juga dikaitkan daging kambing dengan penyakit darah tinggi kerana kandungan lemaknya yang rendah.