Sunday, 26 September 2021

Bolehkah (Cukupkah) Aqiqah Bayi Lelaki Dengan Hanya Seekor Bebiri, Kambing @ Kibasy?

 Assala'mualaikum,

Segala puji bagi Allah SWT atas segala kebesaran dan keagongan NYA. Selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan juga kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga semua yang membaca posting ini di dalam rahmat Allah, sihat jasmani juga rohani  dan dijauhkan dari segala wabak, bencana dan ujian yang berat.

Terdapat banyak pertanyaan berkenaan sembelihan hanya seekor haiwan untuk aqiqah bayi lelaki, cukupkah atau sahkah... Ini mungkin timbul akibat kesan dari situasi semasa pendamik COVID 19 yang mencengkam hampir segala aspek kehidupan kita termasuklah soal ekonomi dan kemampuan berbelanja masyarakat. Kami akan berpandukan IRSYAD AL-FATWA 128 dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang dikeluarkan oleh SS Datuk Mufti Wilayah Perseketuan pada 19 September 2016 bersamaan 17 Zulhijjah 1437 H. 

Ia Adalah Memadai dan Dibolehkan

Ini adalah pendapat di dalam mazhab al-Syafi’e sepertimana dinukilkan oleh al-Imam al-Syirazi di dalam kitabnya al-Muhazzab dan begitu juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’.[1]

Ia berdasarkan sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibasy yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang”.

Riwayat Abu Daud (2841)

Berdasarkan hadith tersebut, maka melakukan aqiqah bagi anak lelaki dengan seekor kambing adalah memadai. Perkara yang utama disini ialah kita hendaklah menyempurnakan ibadah aqiqah ini dengan penuh keikhlasan dan menzahirkan rasa syukur di atas kurniaan Allah SWT kerana menghadirkan zuriat buat keluarga kita dan pastinya juga Rasulullah SAW akan berbangga di akhirat kelak kerana ramainya umat Baginda SAW.

 

 [1] Al-Muhazzab oleh al-Syirazi (1/438) & al-Majmu’ oleh al-Nawawi (8/429)

 

Wednesday, 14 April 2021

Ramadhan Kareem - Iftar SOP COVID 19

 Assalamulaikum,

Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua. Moga Ramadhan ini kita beroleh barakah, maqfirah dan keampunan dari Ilahi. 

Iftar tahun ini sememangnya berbeza dari tahun sebelumnya disebabkan kesan pandemik COVID 19, tetapi agak lebih baik dari tahun lepas disebabkan kebanyakan kita telah diberi kelonggaran berada didalam RMCO dan CMCO. Iaitu perintah pergerakan pemulihan dan bersyarat. Oleh itu terdapat SOP tertentu yang perlu kita patuhi demi membantu pihak kerajaan membendung wabak ini. 

Pihak kami amat mengalu alukan tempahan menu berbungkus untuk iftar bagi edaran dimana sahaja yang diinginkan. Selain itu adalah digalakan untuk Tuan Puan melakukan aqiqah sepanjang Ramadhan ini kerana bakal beroleh 2 kebaikan serentak iaitu pahala aqiqah dan memberi makan orang berbuka. 

Rebutlah peluang ini, memberi makan orang berbuka dikala waktu susah ini amat besar ganjarannya selain sentiasa didambakan oleh para asnaf dalam masyarakat kita.





Tuesday, 26 January 2021

Aqiqah Drive-Thru Atau Pack & Edarkan

 Assalamualaikum,

Terlebih dahulu kami ingin memohon kehadrat Ilahi agar kita semua dijauhkan dari sebarang wabak penyakit dan malapetaka yang tidak diingini. Semoga kita semua berada dibawah naungan dan rahmat Allah sentiasa hendaknya.

 Umum ketahui dikala ini negara kita sedang dilanda wabak penyakit serta kemelesetan ekonomi yang kesannya meruntun keutuhan hidup rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah serta yang tidak berpendapatan tetap. Justeru itu, amal jariah dan sumbangan dalam pelbagai bentuk terutamanya makanan amat diharapkan oleh golongan tersebut. Ada yang memilih untuk menunjukkan kesusahan bagi meraih simpati tetapi banyak yang memilih untuk tidak menunjuk kesusahan tersebut atas pelbagai faktor yang Allah sahaja mengetahuinya.

Adalah menjadi fardhu kifayah untuk golongan berada dan yang tidak terkesan dengan situasi sekarang untuk membantu masyarakat sekeliling, salah satunya dengan melakukan aqiqah. Mengapa aqiqah?.....jawabnya ialah ianya serampang dua mata, pertamanya si pelaku dapat menunaikan ibadah aqiqah untuk tanggungannya. Keduanya ibadah aqiqah membolehkan makanan diberi secara percuma kepada mereka yang amat memerlukan makanan bagi mengisi perut yang mungkin sedang kelaparan.

Ayuhlah kita bersama-sama menyantuni masyarakat demi kebaikan ummah setempat. Kami di sini sedia membantu bagi melaksanakan ibadah aqiqah anda.




Friday, 26 June 2020

SOP MAJLIS SOSIAL & KEAGAMAAN PKPP

Assala'mualaikum & Salam Sejahtera,


Akhirnya berita yang ditunggu-tunggu sampai jua. Alhamdullilah..Pihak MKN telah memberi kebenaran untuk majlis berkaitan agama merangkumi majlis-majlis tahlil, aqiqah, doa selamat dan majlis-majlis sosial seperti pertunangan, perkahwinan, hari-jadi, reunion dan sebagainya  diadakan bermula 1 Julai 2020. Setinggi penghargaan diucapkan  kepada pihak berwajib yang telah memberi penghargaan dan merangka SOP untuk diguna-pakai dalam pelaksanaan majlis tersebut.

Perkara utama yang dititik-beratkan semestinya keselamatan semua yang terlibat dan penjarakan sosial yang terlibat didalam majlis tersebut. Garis panduan utama yang diberikan adalah seperti berikut:
  • Bilangan maksimum kapasiti hadirin tidak melebihi 250 orang (idealnya 100 - 150 orang) tertakluk kepada ruang majlis dan tempoh masa hanya antara 3-5 jam sahaja.
  •  Buffet dibenarkan dengan diuruskan paramusaji, yang terbaiknya makanan hendaklah dihidangkan.
  • Kaunter saringan kesihatan perlu ada dipintu masuk dimana suhu badan setiap tetamu perlu diperiksa. Tetamu yang bergejala tidak dibenarkan hadir.
  • Pendaftaran tetamu mesti dilakukan sama-ada secara manual menggunakan buku log atau menggunakan aplikasi MySejahtera dan penutup muka digalakan untuk dipakai oleh semua yang berada dimajlis tersebut.
  • Arah masuk dan keluar tetamu perlu diasingkan supaya kesesakan tidak berlaku dan pergerakan tetamu terkawal.
Secara dasarnya SOP tersebut adalah workable dan boleh dilaksanakan dengan kerjasama erat caterer, tuan rumah dan pengunjung majlis tersebut. Kita percaya rakyat Malaysia yang  terkenal dengan budaya bersopan-santun dan suka mematuhi peraturan tidak akan menghadapi masalah melaksanakan SOP yang diberikan.



Majlis Perkahwinan





Friday, 24 April 2020

Ramadhan Mubarak, Ramadhan Kareem

Assala'mualaikum,

Terlebih dahulu kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan 1441 dan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa. Moga Puasa Kita Semua Diterima Allah, Diampun Segala Dosa dan Kesalahan Lalu Serta Diberi Ganjaran Yang Tidak Terhitung Jumlahnya.

Bila Ramadhan tiba, sambutlah dengan sujud syukur tanda terima kasih kepada Allah kerana memilih kita untuk terus beribadah dibulan yang mulia ini. Bila bertemu dengan ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai maupun sesiapa sahaja, ucaplah "Ramadhan Kareem" dan  orang yang mendengar membalasnya dengan "Allahu Akram". Maksudnya "Ramadhan Yang Mulia"  dan dibalas "Allah Lebih Mulia".

Sambutlah Ramadhan dengan wajah yang berseri-seri tanda kegembiraan yang tidak terhingga dan berazam untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan selalu berbicara kepada Allah walau dalam hati contohnya, "Allah, aku berpuasa Ya Allah, terimalah puasa ku ini, aku berpuasa hanya untuk Mu Ya Allah". Hiaslah rumah kita sebaik-baiknya dengan bersih dan cantik kerana terlalu banyak rahmat yang Allah hendak berikan dibulan yang mulia ini. Lengkapkan diri kita dengan ilmu dan perbanyakan membaca Al-Quran dan bersedekah dijalan Allah.

Moga Ramadhan ini lebih baik dari Ramadhan kita sebelumnya - Maaf Zahir & Batin.



Wednesday, 28 August 2019

Kambing "Perangat" @ Reheat...Salai ?

Assalamulaikum & Selamat Sejahtera,


"Kambing golek perangat (reheat), dah panggang 3 hari dah...bawa salai nak perangat balik saja tu"


Itulah ayat tomahan yang kedengaran dari sebilangan kecil "pecinta" kambing dalam masyarakat kita. Mungkin datangnya dari rakan pesaing yang tumbuh bak cendawan lepas hujan, immitator atau peniru yang baru berjinak dalam bidang ini ataupun orang awam yang mendapat maklumat yang kurang tepat berkenaan kami dari media sosial yang mungkin dijadikan platform pemasaran dengan cara penyebaran maklumat kurang tepat, menburuk-burukan atau barangkali...fitnah.

Posting ini bertujuan menerangkan kembali atau menjawab tomahan dan tuduhan yang dilemparkan dengan maklumat yang benar dari pihak kami, bukan untuk memburuk-burukan atau menjatuhkan sesetengah pihak...jauh sekali dari menfitnah.

Resepi kambing panggang kami menggunakan adunan bahan rempah ratus yang banyak, ciptaan sendiri yang tidak kami war-war kan atau jual kepada pihak lain - our best kept secret. Jumlah dan berat rempah yang telah diadun serta disapu pada carcass kambing (yang telah dibasuh bersih) untuk diperap adalah lebih dari sekilogram (sekitar 1kg-3kg) bagi setiap ekor bergantung pada saiz. Kami akan memerapnya beberapa hari dalam feezer untuk mendapatkan rasa yang terbaik. Bagi mengelakan rempah tersebut masam/rosak kami perlu memanggangnya segera selepas carcass kambing itu defros (nyah beku). Malahan kambing itu sendiri tidak akan tahan lama selepas dikeluarkan dari freezer kerana ia telah dibasuh. Bagaimana untuk menempuh perjalanan yang lama jika jarak rumah kenduri jauh dari tempat kami - rempah dan kambing itu perlu "dimasak" dahulu dengan cara memanggangnya separuh masak bagi mengelakannya rosak dan berbau.

Seterusnya kambing golek kami tidak direbus atau dikukus dahulu sebelum panggang - ia adalah selling point atau kelebihan produk kami. Oleh itu proses memanggang perlukan 2-4 jam bergantung saiz - yang SEPARUH dari masa tersebut ditempat pelanggan. Kami menggunakan kayu api dalam jumlah yang agak banyak yang dibakar dijadikan bara untuk memanggang kambing pada awalnya. Arang yang dijual dipasaran tidak dapat membekalkan haba yang cukup untuk memanggang kambing dari mentah. Bagaimana mungkin ini dapat dilakukan ditempat pelanggan jika majlis diadakan di rumah teres, apartment, kondominium, dewan ataupun pejabat kerana melibat api yang marak dan asap yang banyak pada mulanya.

Jangkamasa yang lama untuk memanggang juga boleh menyebabkan makanan lain yang dibawa menjadi kurang enak sebelum majlis bermula dan kesukaran untuk merancang perjalanan jika venue majlis agak jauh juga salah satu faktor. Mahukah anda kami bermalam atau berada di rumah anda pukul 6 pagi jika majlis bermula pukul 11 pagi - pekerja kami juga tidak mengemarinya.

Apa yang kami lakukan setelah mengolek kambing di TEMPAT ANDA ialah men"GRILLE" ataupun memanggang di atas net untuk memasak secara sempurna kerana ada dikalangan masyarakat kita tidak akan makan daging yang masih merah/red ataupun "berdarah". Pilihan yang logik kerana anda sendiri sebagai pelanggan/tetamu boleh meminta daging kambing anda dimasak penuh (fully cooked), medium rare ataupun RARE !!!

Salai ataupun smoke adalah proses memasak yang berbeza dimana punca haba dibawa dalam bentuk asap atau smoke. Selalunya dalam keadaan bertutup (enclosed)  dimana punca pembakaran ditempat lain manakala benda yang dimasak berada di tempat lain. Method ini famous di Amerika Utara yang mana proses memasak memakan masa berhari-hari.

Demikianlah sedikit penerangan bagi mereka yang sudi membaca dan menerimanya. Bersainglah secara jujur dengan berpaksikan kelebihan cara masing-masing, bukan dengan cara memburuk-burukan atau pun fitnah demi sedikit keuntungan atau sesuap nasi. Ingatlah kita membantu masyarakat melakukan ibadah - aqiqah, lepas nazar, majlis perkahwinan dan sebagainya. Selain sedikit keuntungan wang ringgit, kita juga barangkali berharapkan pahala dari yang MAHA ESA dengan melakukan fardhu kifayah.

Proses Memangang Separuh Masak Separuh Masa Pertama


Golek & Grille Di Venue Majlis Menggunakan Arang Komersial

Monday, 8 July 2019

Lembu Qurban 2019

Assala'mulaikum,

Pelawaan dibuka untuk tempahan lembu dan juga bahagian-bahagian lembu bagi ibadah Qurban pada Aidil Adha untuk tahun ini. Anda boleh menempah untuk seekor lembu atau bahagiannya sahaja, seekor lembu yang sihat dan cukup umur berharga sekitar RM4000 - RM5000 bergantung pada saiz dan sebahagiannya pula bernilai sekitar RM650 - RM700 termasuk upah sembelihan, lapah dan potong ketul.

Selain itu anda juga boleh mendapatkan kambing serta bebiri untuk tujuan Qurban pada Aidil Adha tahun ini pada harga sekitar RM850 - RM1000 bergantung pada saiz haiwan tersebut. Harga tersebut juga termasuk kos sembelihan, lapah dan potong ketul.

Sila hubungi pihak kami untuk maklumat lanjut. Moga ibadah Qurban Tuan/Puan berjalan lancar dan diterima Allah.



 Lembu untuk Qurban: Ai'dil Adha 2019